Membawa Perkhidmatan Perbankan Kepada Anda
Sejak penubuhannya, adalah menjadi misi utama kami untuk membina hubungan yang bermakna dengan pelanggan bagi memastikan mereka dapat menggapai kehidupan yang lebih baik. Kami konsisten dalam memastikan ianya dapat dikecapi melalui kemudahan asas perbankan yang disediakan di mana sahaja dan pastinya berpegang teguh dengan janji kami iaitu ‘Tiada Rakyat Malaysia yang Ketinggalan’.
Kebolehcapaian kepada perkhidmatan perbankan adalah faktor asas dalam memperkasakan individu dan perniagaan, terutamanya di kawasan luar bandar atau pedalaman. BSN mendokong teguh prinsip asas adil dan saksama dalam akses kepada perkhidmatan perbankan, iaitu setiap individu tidak kira di mana mereka berada mempunyai peluang yang sama untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan mereka.
Pendigitalan dan teknologi sewajarnya meningkatkan kebolehcapaian, bukan mewujudkan halangan. Komitmen kami terhadap perkhidmatan pelanggan adalah inklusif. Kami sentiasa ada walaupun keperluan mereka lebih mengutamakan kaedah perbankan tradisional. Ini diperkukuhkan lagi melalui inisiatif membawa perkhidmatan perbankan transaksi asas terus kepada pelanggan.
Memupuk kepelbagaian dan keterangkuman dalam penawaran produk kami
Di BSN, kami percaya dalam menyediakan penyelesaian kewangan inklusif dan mampan yang disesuaikan untuk setiap peringkat kehidupan. Pelbagai produk deposit kami memenuhi keperluan individu dari seawal usia bayi sehingga persaraan, memastikan pertumbuhan dan keselamatan kewangan pada setiap tahap perkembangan.
Kebanyakan akaun deposit kami boleh dibuka dengan keperluan deposit minimum yang rendah. Contohnya, BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP): RM10, Akaun Simpanan Asas: RM20 dan untuk kebanyakan produk deposit kami yang lain: RM50. Dengan menurunkan kadar permulaan, kami menjadikan amalan menyimpan lebih mudah untuk individu dari pelbagai lapisan masyarakat, termasuk mereka yang mempunyai sumber kewangan terhad. Komitmen kami terhadap keterangkuman kewangan membantu merapatkan jurang sosioekonomi dan memastikan setiap individu berpeluang untuk menyimpan dan membina masa depan yang terjamin.
Sama seperti produk deposit, BSN terus berinovasi dan menyesuaikan penawaran pembiayaan kami untuk memenuhi keperluan pelbagai rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang mereka. Sebagai contoh, kami menawarkan pembiayaan BSN Mikro/i Madani Istimewa, yang diperkenalkan khas untuk individu kurang upaya dengan tujuan untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka dengan peluang pembiayaan. Di samping itu, BSN juga menawarkan pembiayaan untuk pembelian rumah pertama melalui BSN MyFirstHome/i, MyHome-i Idaman dan MyHome-i SJKP-MADANI.
Produk-produk ini, antara lain, mencerminkan dedikasi kami untuk memastikan setiap individu tidak terkecuali dari menerima bantuan kewangan terutamanya mereka yang tergolong dalam golongan orang yang terjejas.
Menggalakkan sikap menyimpan dalam kalangan masyarakat melalui SSP
“Menyimpanlah dengan SSP BSN kerana peluang tidak mengenal usia” kata Ang Ajun, antara jutawan muda yang terhasil melalui program SSP BSN.
100 jutawan yang terhasil melalui produk SSP BSN adalah antara bukti kejayaan produk ini. Dengan hanya menyimpan RM10, para pelanggan berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik dan dengan simpanan melebihi RM3,000, mereka berpeluang untuk menjadi seorang *jutawan.
*Tertakluk pada terma dan syarat.
PERJALANAN KETERANGKUMAN KEWANGAN KAMI
Komuniti Tanpa Tunai di Pulau Tioman dan Kabong
BSN bangga dalam usaha menyokong perjalanan kewangan Pulau Tioman, dari menjadi satu-satunya bank yang beroperasi di Pulau itu pada tahun 2004 sehingga membantu Pulau Tioman menjadi komuniti tanpa tunai pada tahun 2023.
Selama beberapa dekad, kehidupan di Pulau Tioman, berjalan secara sederhana dan tradisional. Penduduk tempatan, yang kebanyakannya telah menetap selama beberapa generasi, bergantung kepada aktiviti perikanan, perniagaan kecil, dan pelancongan sebagai sumber pendapatan. Urus niaga wang tunai merupakan kaedah utama dalam urusan seharian, dan ketiadaan perkhidmatan perbankan tempatan menyebabkan penduduk terpaksa menempuh perjalanan jauh ke tanah besar untuk menguruskan hal-hal kewangan mereka. Ini merupakan cabaran yang besar kepada komuniti tempatan, hanya untuk mendepositkan atau mengeluarkan wang tunai.
Pada tahun 2004, BSN menjadi bank pertama dan satu-satunya bank yang membuka cawangan di Pulau Tioman, merevolusikan cara penduduk tempatan mengendalikan kewangan mereka. Kehadiran BSN membawa tahap kemudahan dan keselamatan yang baharu. Mereka kini boleh mengakses perkhidmatan perbankan dengan mudah tanpa perlu meninggalkan pulau, justeru membantu perniagaan tempatan berkembang dan menambah keupayaan seisi keluarga menabung dengan penuh yakin. BSN secara lantas menjadi sebahagian penting dalam kehidupan masyarakat Pulau Tioman, menjadikan transaksi kewangan harian mereka lebih senang dan mudah diakses.
Pada tahun 2023, Pulau Tioman mengambil satu lagi langkah kehadapan — kali ini ke arah sebuah komuniti tanpa tunai yang dilancarkan secara rasmi pada 7 Ogos 2023. Antara komitmen BSN adalah untuk memperbaiki kesejahteraan kewangan komuniti di Pulau Tioman. Kami telah memperkenalkan program celik kewangan untuk meningkatkan kesedaran tentang kaedah pembayaran tanpa tunai seperti pembayaran melalui kod QR, terminal POS, dan perkhidmatan ejen bank kepada penduduk tempatan. Perubahan dan peralihan ini telah disambut baik oleh penduduk dan peniaga tempatan, daripada ekonomi yang bergantung kepada tunai kepada ekonomi yang dikuasakan dengan pembayaran digital.
Hari ini, hampir semua transaksi di pulau itu—sama ada untuk pembelian barangan runcit, penempahan pakej pakej pelancongan atau pembayaran makanan di restoran tempatan—dilakukan secara tanpa tunai seperti melalui kad debit, DuitNow atau pemindahan atas talian. Transformasi ini bukan sahaja memudahkan kehidupan seharian penduduk tetapi juga mengukuhkan ekonomi tempatan dengan transaksi ketara yang dijana oleh pelancong asing.
KOMUNITI TANPA TUNAI TIOMAN
Mengadaptasi kemudahan moden di Kabong, Sarawak
Pada November 2024, Kabong, sebuah daerah yang kaya dengan tradisi dan didiami sekitar 14,000 penduduk di 62 buah kampung, telah melancarkan Program Komuniti Tanpa Tunai. Penduduk Kabong yang pelbagai, terutamanya terdiri daripada kaum Iban, Melanau, dan Bidayuh, mempunyai teras budaya dan hubungan yang mendalam dengan tanah air mereka. Dikenali dengan daya ketahanan, keramahan, dan kemahiran pertukangan, masyarakat Kabong telah lama mengamalkan gaya hidup yang berteraskan pertanian, perikanan, dan hasil kraftangan. Kehidupan bermasyarakat dalam rumah panjang yang menjadi simbol warisan ikonik kawasan ini, serta upacara perayaan dan perhimpunan kebudayaan memperkukuhkan lagi hubungan rapat di antara komuniti.
Majlis Pelancaran Komuniti Tanpa Tunai Kabong, Sarawak telah berlangsung pada 9 November 2024 dengan tujuan untuk memperkenalkan komuniti terhadap cara penggunaan transaksi tanpa tunai serta produk-produk dan perkhidmatan perbankan kepada penduduk-penduduk. Pendekatan ini memastikan penduduk Kabong memperoleh pengetahuan kewangan untuk mengurus dan dapat memanfaatkan ekonomi digital melalui penerimaan sistem tanpa tunai.
Wearables, pembayaran tanpa tunai dan banyak lagi – Ketersediaan kewangan untuk masa depan
Kesedaran kewangan dan ketersediaan digital sekolah bukan satu peralihan dalam sekelip mata, tetapi harus dipupuk secara beransur-ansur dan bermakna seperti yang diterapkan dalam inisiatif keterangkuman kewangan BSN yang diberikan kepada sekolah setiap hari. Pendekatan kami memberi tumpuan kepada pemupukan kesedaran kewangan jangka panjang dalam kalangan pelajar, justeru memastikan mereka memperoleh pengalaman praktikal yang melangkaui pembelajaran bilik darjah. Konsep seperti belanjawan dan pengurusan aliran tunai bukan lagi menjadi konsep abstrak. Ini kerana pelajar kini boleh memiliki kad debit pertama mereka—satu langkah ketara ke arah kebebasan kewangan. Secara tidak langsung, perkhidmatan yang mudah ini mengajar mereka cara mengurus wang mereka sendiri, menyemai tabiat menyimpan, merancang belanjawan dan berbelanja dengan bijak.
Ambil contoh kisah hari persekolahan biasa Noah dan Bella di SMK Tekek, Pulau Tioman. Noah, yang dahulunya bergantung kepada elaun secara tunai daripada ibu bapanya, kini menggunakan Kad debit BSN untuk mengurus perbelanjaan dan membuat pembayaran makanan dengan teknologi ‘wearables’ BSN. Bella pula belajar mengenai kepentingan menabung sejak kecil melalui pembukaan akaun simpanan pertamanya dan dengan mengikuti program celik kewangan di sekolah. Bella kini dapat merancang masa depannya dengan menabung untuk pendidikan universiti.
Kisah ini menggambarkan bagaimana BSN membantu pelajar mengawal masa depan kewangan mereka. Dengan langkah-langkah kecil tetapi bermakna, kami menyokong pelajar untuk membina keyakinan diri, memupuk semangat berdikari, dan menguasai kemahiran kewangan yang berguna—bukan hanya untuk di sekolah, tetapi juga dalam kehidupan. Kisah Noah dan Bella melangkaui perkhidmatan teknologi dan perbankan BSN; ia adalah tentang memperkasakan generasi muda untuk menghadapi masa depan dengan yakin.
Memperkasakan Komuniti melalui Program Literasi Kewangan
Untuk membantu komuniti tempatan terutamanya golongan B40 untuk mengurus sistem kewangan, BSN menawarkan peluang kepada mereka untuk memperoleh pengetahuan penting dalam perancangan kewangan, pengurusan aliran tunai dan simpanan melalui bengkel literasi kewangan ‘Ringgit Dijaga, Komuniti Sejahtera’. Bengkel ini direka khusus untuk komuniti yang terutamanya terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah.
Selain itu, BSN turut menjalankan taklimat literasi kewangan di Cawangan Bank Bergerak untuk memenuhi keperluan segera keluarga luar bandar dan berpendapatan rendah. Mereka diberikan pendidikan mengenai perbankan kewangan dan digital, ditekankan khusus kepada langkah menjaga keselamatan dan pencegahan jenayah kewangan.
Memperkasakan pendidikan: Komitmen BSN untuk membantu pelajar
Antara inisiatif untuk pelajar-pelajar komuniti Penan dan Peribumi
Misi kami melangkaui nilai dan kadar keuntungan; kami komited untuk mengubah kehidupan mereka yang paling memerlukan. Pada tahun 2023, BSN telah menyalurkan bantuan lebih RM30,000 untuk program peningkatan kehadiran pelajar peribumi ‘Mojing Kenin Anak-Anak Penan’. Program ini selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan fokus dalam peningkatan tahap pendidikan komuniti Orang Asli dan peribumi.
- Program ini dianjurkan oleh Persatuan Pengetua Sekolah Malaysia cawangan Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan beberapa agensi lain di daerah Baram dan Miri bagi memastikan pelajar-pelajar tidak ketinggalan serta memastikan masyarakat dapat mencapai tahap pendidikan purata nasional.
- Bank menyokong program ini melalui perkhidmatan seperti membuka akaun bank BSN untuk 1,000 pelajar daripada tujuh buah sekolah - Sekolah Kebangsaan (SK) Long Banga, SK Long Lamei, SK Pa' Dallih, SK Bario, SK St Pius Long San dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temenggong Datuk Lawai Jau, Long San serta menyalurkan bantuan deposit tunai ke dalam akaun pelajar.
- Selain meningkatkan kehadiran pelajar Penan/Peribumi ke sekolah, disamping memupuk kesedaran tentang pengurusan kewangan, program ini juga bertujuan untuk memotivasikan para pentadbir dan guru sekolah, serta membantu meningkatkan taraf hidup dari segi kemahiran, reka bentuk dan keusahawanan.
PROGRAM MEMPERKASAKAN KEHADIRAN MURID PERIBUMI - MOJING KENIN
Pembiayaan Mikro BSN: Memperkasakan Usahawan
Kami percaya bahawa perbankan bukan sekadar urusan transaksi—ia adalah tentang mencipta perubahan yang berterusan. Selain menjadi peneraju dalam bahagian pasaran Pembiayaan Mikro di peringkat domestik, kami turut berbangga memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan sosioekonomi negara. Pembiayaan mikro menyediakan sokongan penting kepada para usahawan, dan melalui program pemerkasaan kami, kami melangkaui sekadar menyediakan pembiayaan dengan memperkasa komuniti serta memupuk pertumbuhan yang mampan.
Pembiayaan Mikro BSN
Sejak diperkenalkan pada tahun 2007, produk Pembiayaan Mikro Kewangan BSN telah memperkasakan lebih daripada 139,000 usahawan, dengan lebih 10% daripadanya terdiri daripada perusahaan milik wanita. Ia direka khusus untuk menyokong pertumbuhan dan kemajuan perniagaan kecil.
Tujuan pembiayaan ini adalah untuk membantu usahawan mikro yang mempunyai kurang daripada 5 pekerja* atau pendapatan jualan tahunan di bawah RM300,000*
*Definisi Mikro seperti yang ditetapkan oleh Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan (NSDC)
Agenda Pembiayaan Mikro
Pembiayaan Mikro dilihat sebagai pendekatan pembangunan yang merangkumi aspek kewangan dan sosial
Membantu golongan yang kurang mendapat Perkhidmatan Perbankan dalam menjana pendapatan dan mencipta peluang pekerjaan
Objektif utama adalah untuk membantu golongan miskin mengatasi kemiskinan dengan berkesan
Mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan tidak rasmi, seperti pemberi pinjaman wang tidak berlesen
Memberi sokongan kepada perniagaan mikro untuk berkembang dan maju ke peringkat seterusnya iaitu menjadi PKS
Perjalanan dari MNurture ke MGrow
MNurture
Syarikat rintisan sering dicabar dengan kos permulaan yang tinggi dan aset cagaran yang kurang. Pembiayaan MNurture sehingga RM5,000 dengan tempoh selama 2 tahun, memudahkan pengaksesan dana dan membolehkan usahawan menampung kos-kos penting untuk memulakan perniagaan serta menghapuskan rintangan kewangan.
MSupport
Setelah menjadi stabil, pembiayaan Msupport sebanyak RM5,000 sehingga RM20,000 selama tempoh 2 hingga 4 tahun dapat membantu peralihan ke fasa pertumbuhan perniagaan. Pembiayaan ini menyokong usaha perkembangan, membolehkan usahawan untuk melabur semula dan memperluaskan operasi mereka.
MBiz
Bagi perniagaan yang kini berkembang, MBiz menawarkan pembiayaan antara RM20,000 hingga RM50,000 dengan tempoh selama 3 hingga 5 tahun. Pembiayaan ini dapat membantu usahawan perkembangkan operasi mereka dengan lebih meluas, memasuki pasaran baharu, atau meningkatkan kapasiti mereka.
MGrow
Untuk perkembangan yang signifikan, pembiayaan MGrow sebanyak RM50,000 sehingga RM250,000 dengan tempoh pembayaran balik antara 5 hingga 7 tahun membantu perniagaan melaksanakan pelaburan transformasi dan memacu perkembangan ke tahap seterusnya.
Pemerkasaan Kehidupan
Ahmad Rasyad
Pelanggan mikro madani, seorang graduan kejuruteraan mekanikal yang telah beralih kepada perniagaan menjahit. Beliau menggunakan bantuan pembiayaan Mikro Madani untuk menaiktaraf aktiviti pemasaran, memperbaiki pembungkusan daripada menggunakan plastik kepada kotak, serta meningkatkan imej dan daya tarikan perniagaannya.
Ismandi Abit
Beliau memohon Pembiayaan Mikro-i Madani Veteran untuk mengembangkan perniagaan perkhidmatan pembersihannya dalam menghadapi cabaran ekonomi.
Ng Ka Wai
Ka Wai adalah pelanggan Madani Borneo yang menggunakan pembiayaan ini untuk menubuhkan, mengembangkan operasi dan meningkatkan bekalan syarikat Grab and Co Coffee. Pembiayaan tersebut telah membantu dalam meningkatkan pendapatan perniagaan dan mengembangkan perniaagaan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Siti Nurul Atiqah
Siti membincangkan cabaran perniagaannya dalam perkhidmatan membaiki kereta, strategi pelaburan, dan matlamat keuntungan, dengan menekankan kepentingan perancangan yang teliti.
ESG melalui Tanggungjawab Sosial Korporat
BSN Care Raya 2024: Sewing Seeds of Hope - Inisiatif Pemerkasaan Wanita dengan kerjasama bersama Women of Will (WOW), menyokong kelestarian Pusat Menjahit Komuniti (CSC) di PPR Lembah Subang yang dikendalikan oleh 11 wanita dalam kalangan B40. BSN telah menyumbang kepada mesin jahit dan peralatan menjahit yang lain, serta telah membeli baju raya yang dihasilkan oleh CSC untuk diberikan kepada 200 keluarga berpendapatan rendah, dengan tujuan memperkasakan usahawan wanita dan memperkukuhkan ketahanan komuniti melalui pendapatan yang mampan.
BSN telah memperkenalkan ’Wearables’ untuk kanak-kanak sekolah dalam usaha menyokong kelestarian dan keterangkuman kewangan dengan menggalakkan literasi kewangan sejak awal usia dalam cara yang menarik dan mesra alam. Direka menggunakan bahan yang berkualiti, peranti ini mengurangkan kebergantungan kepada transaksi tunai sambil memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mempelajari perbankan digital secara langsung. Inisiatif ini menyemai keterangkuman kewangan dari usia muda, membekalkan pelajar dengan kemahiran untuk mengurus kewangan secara bijak dan berperanan dalam membentuk ekosistem kewangan yang lebih inklusif dan lestari pada masa hadapan.
Bengkel Upcycling BSN Care, yang dijalankan dengan kerjasama Hara Makers bertujuan untuk menangani isu pengurusan sisa di Malaysia dengan mempromosikan pengitaran semula plastik. Bengkel selama lima hari ini melibatkan kira-kira 1,000 kakitangan, di mana mereka mempelajari prinsip dan kemahiran praktikal dalam mengitar semula bahan-bahan seperti beg plastik, sisa kopi, dan sabun. Para peserta menghasilkan produk mesra alam seperti beg kecil, gantungan kunci, lilin, dan sabun, sekaligus menyumbang kepada penyelesaian pengurusan sisa yang lebih mampan dan meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab terhadap alam sekitar.
BSN Care 50 Hari Memberi: Kampung Angkat MADANI, yang dijalankan dengan kerjasama Kementerian Kewangan memberi fokus kepada usaha menaik taraf pasar malam di Kampung La, Hulu Besut, Terengganu. Inisiatif ini melibatkan penambahbaikan infrastruktur seperti penurapan blok serta penyediaan khemah, apron, dan topi untuk peniaga. Selain itu, inisiatif ini turut juga menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai melalui QR Pay. Program ini selaras dengan matlamat pendigitalan BSN, yang bertujuan untuk memperkasakan peniaga tempatan sambil meningkatkan kelestarian dan kecekapan operasi pasar tersebut.
Melalui BSN Care, kami menyokong pelbagai program yang memberi tumpuan kepada pendidikan, literasi kewangan, dan pembangunan komuniti. Inisiatif kami bertujuan untuk memperkasakan individu dalam memperbaiki kehidupan mereka, sekaligus mewujudkan perubahan positif yang berterusan.
Sebagai bank peruncitan, kami telah mencapai kecemerlangan dalam sumbangan sosial dan sedang berkembang dalam pengurusan alam sekitar
Usaha awal kami tertumpu kepada pembangunan produk untuk memanfaatkan potensi pertumbuhan dalam pemeliharaan alam sekitar dan penjimatan tenaga melalui produk pembiayaan untuk panel solar dan EV/HEV serta akaun EcoSave-i yang merupakan akaun simpanan berasaskan hijau yang direka untuk menyokong usaha pemeliharaan alam sekitar.