Ikuti siaran, coretan dan pengumuman media terkini yang berkaitan dengan BSN.

Siaran Akhbar Terkini

2025-04-25

BSN DIIKTIRAF DENGAN TIGA ANUGERAH BERPRESTIJ DI ADFIAP SUSTAINABLE DEVELOPMENT AWARDS 2025


Kuala Lumpur, 25 April 2025 – Bank Simpanan Nasional (BSN) mengukuhkan peranannya sebagai peneraju dalam kewangan lestari dan inklusif menerusi pengiktirafan tiga anugerah berprestij di ADFIAP Sustainable Development Awards 2025.

Anugerah ini mengiktiraf usaha-usaha bermakna BSN dalam memajukan amalan kewangan yang memperkasa komuniti dan menyokong keutamaan pembangunan negara selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDGs).

Dianjurkan setiap tahun oleh Association of Development Financing Institutions in Asia and the Pacific (ADFIAP), anugerah ini mengiktiraf institusi yang menunjukkan kecemerlangan dalam memberi impak pembangunan. BSN menerima pengiktirafan serantau dalam tiga kategori utama.

BSN telah diumumkan sebagai Pemenang bagi kategori Pembangunan PKS menerusi kerjasama inovatif bersama MesinKira, sebuah projek yang meningkatkan daya saing perusahaan kecil dan sederhana melalui penyelesaian kewangan yang mudah diakses dan berteraskan teknologi. Bank ini turut menerima Anugerah Merit dalam Tadbir Urus Korporat bagi Rangka Kerja Kelestarian yang kukuh, yang mengintegrasikan prinsip ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) secara menyeluruh. Selain itu, Laporan Kelestarian pertama BSN telah meraih Anugerah Khas bagi Laporan Kelestarian Terbaik, sekali gus menyerlahkan komitmen bank terhadap komunikasi yang telus dan berorientasikan impak.

Mengulas mengenai pencapaian ini, Jay Khairil, Ketua Eksekutif BSN, berkata, “Pengiktirafan-pengiktirafan ini adalah bukti kepada semangat dan tujuan yang memacu kami di BSN. Kami melihat kelestarian bukan sebagai satu kewajipan, tetapi sebagai strategi teras yang membolehkan kami memperkasakan komuniti, mengukuhkan tadbir urus, dan memberikan nilai jangka panjang kepada rakyat Malaysia. Anugerah-anugerah ini menguatkan lagi azam kami untuk terus memimpin dengan impak dan tujuan yang jelas.”

Pengiktirafan ini mengukuhkan peranan BSN sebagai institusi kewangan yang berfokus kepada pembangunan, komited untuk memajukan pertumbuhan inklusif dan mampan – sekaligus menetapkan piawaian kebangsaan sebagai institusi perbankan yang bertanggungjawab di Malaysia.