PIAWAIAN KESELAMATAN KAMI - DAN APA YANG ANDA BOLEH LAKUKAN UNTUK KEKAL SELAMAT DALAM TALIAN
Bank Simpanan Nasional (BSN) sangat komited dalam memastikan semua data, bahan, maklumat yang didedahkan, dikongsi, disimpan atau digunakan, atau apa-apa transaksi yang dilakukan melalui MyBSN disimpan dengan selamat, terjamin, peribadi dan sulit. Untuk tujuan ini, sistem perlindungan keselamatan dan privasi dipasang untuk memastikan piawaian keselamatan dan kerahsiaan yang tertinggi dikekalkan.
NAMA PENGGUNA DAN KATA LALUAN
Bagi mengelakkan capaian tanpa kebenaran ke perkhidmatan kewangan dalam talian kami, setiap pelanggan dikehendaki memilih nama pengguna dan kata laluan yang membolehkan capaian ke maklumat kewangan mereka. Nama pengguna mestilah antara 8 dan 12 aksara panjang serta mengandungi elemen angka abjad termasuk kedua-dua abjad dan angka. Penggunaan aksara khas (contohnya *& _#$) termasuk jarak tidak dibenarkan. Kata laluan mestilah antara 6 dan 12 aksara panjang serta mengandungi sekurang-kurangnya 3 elemen berikut: huruf besar/huruf kecil, angka dan/atau aksara khas.
Nama pengguna tidak sensitif huruf tetapi kata laluan adalah sensitif huruf.
Contoh: Nama Pengguna: ShamShawn73 Kata Laluan: mode137_hensem
Anda dinasihati supaya mematuhi beberapa tip bagi memastikan integriti nama pengguna dan kata laluan anda:
- Jangan pilih kata laluan yang mudah diteka oleh orang lain.
- Jangan guna perkataan mudah, nama anda, tarikh lahir, nombor telefon atau nama yang tersenarai dalam kamus standard.
- Hafal kata laluan anda dan jangan tulis di mana-mana.
- Kata laluan hendaklah ditaip apabila mencapai akaun dalam talian bagi melindungi maklumat peribadi anda.
- Berkongsi kata laluan atau nombor PIN dengan orang lain samalah seperti memberi individu itu kuasa untuk menggunakan capaian anda bagi melakukan transaksi. Ia tidak patut didedahkan walaupun diminta oleh pegawai BSN yang diberi kuasa.
- Ubah kata laluan anda dengan kerap.
Untuk mewujudkan kata laluan unik, anda boleh menggunakan kaedah yang berikut:
- Gunakan gabungan perkataan dan angka yang tidak berkaitan
Contoh: Car45fisH - Gunakan perkataan salah ejaan atau tersilap taip
Contoh:.commando*10* -: komando*10*
PERLINDUNGAN MAKLUMAT
Walau pun kami berusaha sedaya upaya untuk memastikan pengalaman dalam talian anda selamat dan terjamin, kami tidak mempunyai sebarang kawalan atas komputer yang anda gunakan untuk mencapai MyBSN. Sebagai ciri keselamatan tambahan, kami telah menggabungkan fungsi log keluar automatik jika tiada aktiviti dikesan selepas jangka masa yang ditetapkan.
Walau bagaimanapun, anda mesti memastikan bahawa anda tidak memberikan sesiapa pun peluang mendapat capaian ke maklumat akaun anda:
- Pastikan tiada sesiapa pun mempunyai capaian ke komputer atau rekod aktiviti dalam talian anda.
- Sentiasa log keluar daripada MyBSN dengan serta-merta setelah selesai transaksi anda dan/atau sebelum melayari laman web lain.
- Jangan hantar sebarang maklumat mengenai akaun anda melalui e-mel.
- Lumpuhkan fungsi AutoComplete dalam pelayar (browser) anda untuk mengelakkan ID anda dilengkapkan secara automatik apabila anda menaip ID Pengguna anda.
Untuk memasang “ON” atau ‘OFF“ AutoComplete dalam pelayar MS. Internet Explorer:
- Klik menu “Tools” dan pilih “Internet Options”.
- Klik “Internet Options” untuk mendapatkan tab “Content”.
- Daripada “tab” ini, klik butang “AutoComplete”.
- Nyahtanda "Nama Pengguna dan kata laluan pada borang".
MyBSN mengumpul maklumat peribadi yang anda berikan secara sukarela dalam laman web ini, yang mungkin termasuk nama, alamat, alamat e-mel, taraf perkahwinan, julat gaji, bilangan anak, dll. Kami menggunakan maklumat ini untuk berhubung dengan anda dan menyediakan perkhidmatan atau produk yang dimohon. Jika anda memberikan kebenaran semasa maklumat peribadi anda dikumpul melalui laman web ini, kami juga boleh menyediakan maklumat, tawaran istimewa dan promosi untuk anda. Selain itu, kami boleh menyimpan sebahagian atau semua maklumat peribadi tersebut dan menggunakannya bagi tujuan pemasaran dan penyelidikan. Data anda akan disimpan selagi anda masih menjadi pelanggan BSN.
KERAHSIAAN DATA DAN INTEGRITI DATA
Untuk memastikan kerahsiaan dan integriti data, semua maklumat yang dihantar melalui Internet disulitkan (encrypted) menggunakan protokol 128-bit Secure Socket Layer (SSL) daripada Verisign Certificate Authority. SSL merupakan kaedah terjamin untuk memindahkan maklumat antara dua komputer melalui Internet menggunakan penyulitan. Penyulitan hujung ke hujung yang teguh juga digunakan dalam sumber dan rangkaian komputer BSN.
MyBSN mendapat pensijilan WebTrust. Ia mengesahkan bahawa kami mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa terkemuka dan Amalan Terbaik, di samping komited kepada pemeliharaan sekitaran yang terjamin. WebTrust merupakan sebuah perbadanan bebas yang memantau dan menguji kemudahan kami bagi menjamin bahawa kami mengekalkan piawaian tertinggi dan terkini dalam keselamatan dan pertukaran maklumat melalui Internet.
KESELAMATAN DAN PEMANTAUAN SISTEM
BSN menggunakan gabungan langkah-langkah keselamatan dan pemantauan sistem bagi transaksi dalam talian seperti yang berikut:
- Sistem Pengalis (Firewall), penyulitan data yang kukuh, perlindungan anti virus dan sistem pemantauan keselamatan 24 jam bagi mengesan dan mengelakkan sebarang bentuk kegiatan tidak sah dalam rangkaian sistem kami.
- Keselamatan sistem kami dikaji semula secara berkala dari semasa ke semasa.
Kami juga berusaha sedaya upaya dalam memastikan kolaborasi dengan vendor/pengeluar utama agar dapat mengetahui perkembangan terkini dalam pembangunan teknologi keselamatan maklumat untuk kemungkinan pelaksanaan pada masa hadapan.
PERLINDUNGAN VIRUS KOMPUTER
Virus komputer memang wujud dan apabila komputer anda dijangkiti, ia akan mengakibatkan kehilangan masa, kehilangan maklumat, perbelanjaan untuk membaiki dan kesulitan. Pastikan komputer anda dipasang program perlindungan antivirus bagi mengurangkan risiko.
Kami syorkan agar anda membeli program yang menatar perlindungan virus secara automatik dan berkala. Jika anda kini mempunyai program perlindungan virus dalam komputer anda tanpa ciri penataran automatik, pastikan anda mengemaskinikan program pengesanan virus sekurang-kurangnya sekali sebulan dan/atau apabila anda mengetahui tentang virus baharu, bagi meminimumkan risiko anda. Anda boleh melakukannya dengan melayari tapak Internet syarikat yang membekalkan perisian anda.
Seterusnya, kami nasihati anda agar jangan membuka lampiran e-mel daripada pihak lain kecuali anda benar-benar pasti anda boleh mempercayai sumber itu. Namun, lebih baik berhati-hati dalam perkara ini. Sesiapa yang menghantar lampiran itu kepada anda mungkin tidak tahu yang mereka telah menghantar virus kepada anda.
MENGEMAS KINI PELAYAR (BROWSER) ANDA
Pelayar Internet membenarkan capaian dan membolehkan anda melayari pelbagai maklumat dan sumber perkhidmatan dalam Internet. Kebanyakan komputer telah sedia dipasang dengan pelayar.
- Sentiasa kemas kini pelayar anda apabila versi baharu dikeluarkan kerana versi ini biasanya mengandungi ciri keselamatan baharu.
- Semak pelayar anda untuk ciri keselamatan yang sedia terpasang yang anda boleh pilih atau tidak pilih untuk digunakan.
- Jika anda mengguna Internet Explorer, kemas kini kepada versi 7.0.
- Anda boleh mencapai tampung (patch) keselamatan terkini.
- Amalan yang baik ialah untuk sentiasa menyemak sijil tapak sebelum log masuk.
TIP KESELAMATAN
Lindungi Diri Anda dan Maklumat Anda Dalam Talian
Berhati-hati apabila melakukan aktiviti perbankan secara dalam talian. Terdapat kes laman web tiruan yang menyamar sebagai laman web tulen, atau e-mel /panggilan telefon yang meminta anda memberikan maklumat peribadi atau maklumat berkaitan akaun dengan niat melakukan penipuan atau pencurian Internet.
Sila ambil langkah-langkah keselamatan yang perlu dan sentiasa berwaspada terhadap e-mel atau panggilan telefon yang mencurigai yang meminta maklumat akaun peribadi anda. Jangan sesekali mendedahkan maklumat akaun Perbankan Internet dan/atau PIN ATM anda kepada sesiapa pun.
10 cara mudah melindungi diri anda
- Jangan berkongsi kata laluan anda dengan pasangan, rakan, saudara-mara atau sesiapa pun. Kata laluan dan PIN anda direka untuk melindungi privasi maklumat perbankan anda. Ia hanya akan berkesan jika anda merahsiakannya.
- Tukar kata laluan anda dengan kerap. Jika anda mengesyaki kata laluan anda telah dicerobohi, hubungi kami untuk menukar kata laluan anda.
- Jangan menggunakan fungsi “ingat kata laluan” kerana maklumat ini mudah digodam.
- Jangan kirim apa-apa maklumat mengenai akaun anda melalui e-mel.
- Jangan beri butiran akaun atau kata laluan anda sebagai respons kepada e-mel atau panggilan telefon. Pegawai bank tidak sesekali akan meminta maklumat ni.
- Jangan buka lampiran e-mel yang mencurigai.
- Elakkan memuat turun program percuma. Program ini mungkin mengandungi perisian mesra penggodam.
- Sentiasa log keluar daripada MyBSN dengan serta-merta sebaik sahaja selesai transaksi dan sebelum melayari laman web lain.
- Bersihkan cache (maklumat yang tersimpan dalam memori komputer anda) setiap kali anda log keluar.
- Elakkan melayari Perbankan Internet anda di tempat awam (kafe internet). Jika anda perlu melakukannya, bersihkan cache anda selepas log keluar.
Jika anda ada sebarang pertanyaan mengenai apa-apa e-mel daripada BSN atau mengesyaki seseorang dengan dakwaan palsu sedang cuba mendapatkan nombor PIN atau maklumat akaun anda, segera hubungi Pusat Khidmat Pelanggan (7.00 pagi hingga 12.00 tengah malam) di 1300 88 1900 atau +603-2613 1900 (Luar Negara).