Prof. Madya Dr. Mohamad Zaharuddin Zakaria telah dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Syariah bermula 1 Jun 2016 dan kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Syariah bermula 1 Jun 2020.

Beliau kini merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan juga Penyelaras Pusat Wakaf dan Zakat USIM. Beliau mendapat Ijazah B.A (Kepujian) Syariah dan Undang-Undang dari USIM dan seterusnya Ijazah Sarjana Undang-Undang Syariah dari Universiti Jordan dan Ijazah Doktor Falsafah dalam Fiqh dan Usul al-Fiqh (Syariah) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Bidang pengkhususan beliau adalah Fiqh Muamalat, Perbankan dan Kewangan Islam, Pasaran Modal Islam, Pengurusan Kewangan Islam, Kaedah-Kaedah Fiqh dan Perundangan Islam. Selain menerbitkan beberapa penulisan akademik, beliau turut terlibat secara aktif dalam bidang penyelidikan di USIM.

Prof. Madya Dr. Kamaruzaman Noordin telah dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Syariah sejak 1 Januari 2021 dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Syariah sejak 1 Januari 2023. Pada masa yang sama, beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah, peranan yang dipegang sejak 2 Januari 2024.

Beliau memegang Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengajian Islam dari University of Wales, United Kingdom. Beliau juga memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan telah mendapat Kepujian Kelas Pertama dalam Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Malaya.

Pada masa ini, beliau merupakan Timbalan Dekan Penciptaan Nilai dan Perusahaan dan merupakan Profesor Madya di Jabatan Syariah dan Pengurusan Universiti Malaya.

Prof. Madya Dr. Kamaruzaman juga memegang peranan lain iaitu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Syariah Affin Islamic Bank, Ahli Jawatankuasa Syariah TEKUN Nasional, Ahli Jawatankuasa Syariah PruBSN Takaful, Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan Penasihat Syariah yang berdaftar di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Sebelum ini, beliau adalah Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah bagi Kenanga Investment Bank Berhad (2012-2020).

Dr. Razli Ramli dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Syariah bermula 1 Januari 2021.

Beliau kini merupakan Pensyarah Kanan di Azman Hashim International Business School (AHIBS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau memegang Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan dari Universiti Utara Malaysia dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari The Flinders University of South Australia. Beliau mempunyai pengalaman melebihi 25 tahun dalam bidang perbankan dan kewangan di mana 18 tahun daripadanya adalah di dalam bidang Kewangan Islam dan beliau juga merupakan ahli kepada Malaysian Institute of Management (MIM).

Prof. Madya Dr. Mohamed Fairooz Abdul Khir dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Syariah bermula 1 Januari 2023.

Beliau memegang Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (Fiqh) daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau juga memperoleh Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah Syariah di Universiti Malaya. Beliau kini merupakan Pengarah di Centre of Excellence Islamic Social Finance, INCEIF University. Beliau juga merupakan ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Syariah CIMB Islamic Bank Berhad dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah Zurich Takaful Malaysia Berhad (ZTMB). Beliau merupakan Penasihat Syariah Berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi Skim Unit Amanah dan Sekuriti Islam (Sukuk).

Dr. Syed Adam Alhabshi dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Syariah bermula 1 Disember 2024.

Beliau kini merupakan Rakan Kongsi di Raja, Darryl & Loh, di mana beliau mengetuai Islamic Finance Practice Group. Dr. Syed Adam memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam kewangan Islam di International Centre for Islamic Finance Education (INCEIF) dan juga merupakan Chartered Islamic Finance Professional (CIFP) daripada institusi yang sama. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan merupakan seorang Fellow Chartered Professional in Islamic Finance (CPIF).

Dr. Syed Adam mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewangan Islam dan perundangan, di mana beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Kehormat dan Grand Council Member of the Chartered Institute of Islamic Finance (CIIF). Kini, beliau juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan Islam Majlis Peguam Malaysia.

Dr. Aida Othman dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Syariah bermula 1 Januari 2025.

Dr. Aida Othman merupakan Pengarah di ZICO Shariah dan bekas Rakan Kongsi di Tetuan Zaid Ibrahim & Co., Kuala Lumpur. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang serta Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Syariah) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau kemudiannya memperoleh Ijazah Sarjana dalam Undang-Undang dari Universiti Cambridge, United Kingdom dan Ph.D. dalam Perundangan Perbandingan dan Pengajian Timur Tengah dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Bidang kepakaran Dr. Aida meliputi undang-undang korporat dan komersial, undang-undang Islam serta kewangan Islam. Beliau juga merupakan bekas Peguam Bela dan Peguam Cara di Mahkamah Tinggi Malaya serta ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah di beberapa institusi kewangan dan pelaburan.