Bank Simpanan Nasional (“Bank”/“kami”) tekad untuk memastikan bahawa semua produk dan perkhidmatan kami adalah selamat dan terjamin bagi para pelanggan kami yang dihargai. Privasi pelanggan adalah keutamaan kami, begitu juga dengan kepercayaan dan keyakinan anda terhadap kami. Polisi Privasi ini menggariskan prinsip-prinsip dan amalan-amalan yang terpakai bagi pengumpulan, penggunaan, penyimpanan, perlindungan, dan perkongsian maklumat peribadi anda. Ia direka untuk memberikan ketelusan kepada para pelanggan, pengawal selia, dan pihak berkepentingan berkenaan proses-proses pengurusan data Bank dan komitmen Bank untuk melindungi maklumat peribadi anda mengikut undang-undang dan peraturan yang terpakai.

Pihak Bank hanya akan mengumpul, merekod, menggunakan, mendedahkan dan menyimpan ("memproses") maklumat peribadi anda selaras dengan Polisi Privasi ini, undang-undang yang terpakai (termasuk Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan undang-undang atau peraturan perlindungan data atau privasi yang lain) dan perjanjian antara Bank dengan anda (jika ada).

"Maklumat Peribadi" atau "Maklumat" merujuk kepada sebarang maklumat atau data yang berkait secara langsung atau tidak langsung dengan anda dan/atau transaksi anda dengan kami. Maklumat ini termasuk nama, alamat, pekerjaan, butiran perhubungan, gambar, butiran akaun anda, biometrik, jenis produk dan/atau perkhidmatan-perkhidmatan yang dilanggan dan maklumat lain yang diperlukan mengenai diri anda dan transaksi anda bersama kami.

JENIS MAKLUMAT YANG KAMI KUMPUL DARIPADA ANDA

Bagi membolehkan kami menangani pertanyaan anda, membuka dan mengendalikan akaun/kemudahan fasiliti untuk anda dan/atau untuk menyediakan produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan kewangan Bank dan/atau melaksanakan sebarang transaksi melalui mana-mana saluran atau platform kami dan/atau menjalankan tujuan lain yang diperlukan untuk mengendalikan dan mengekalkan perniagaan kami dengan anda, kami mungkin perlu memproses Maklumat Peribadi anda dan anda memberi persetujuan untuk pemprosesan tersebut. Jenis Maklumat Peribadi yang kami kumpul daripada anda termasuk, tetapi tidak terhad kepada:

  • Maklumat peribadi yang anda berikan apabila anda memohon mana-mana produk dan perkhidmatan kami termasuk nama, alamat, pekerjaan, butiran perhubungan, umur, jantina, nombor kad pengenalan, butiran, gambar dan biometrik untuk mengesahkan identiti dan latar belakang anda;
  • Maklumat kewangan untuk menentukan kedudukan kewangan anda (termasuk tetapi tidak terhad kepada pendapatan, aset, liabiliti, baki akaun dan transaksi perbankan anda), butiran pekerjaan, dan/atau kesesuaian untuk mana-mana produk/perkhidmatan yang dipohon;
  • Maklumat berkaitan aktiviti dan minat anda yang timbul daripada penggunaan produk dan perkhidmatan Bank, rakan kongsi atau vendor kami;
  • Spesimen tandatangan, termasuk tandatangan digital atau elektronik seperti yang ditakrifkan di bawah undang-undang yang terpakai;
  • Data elektronik lain atau maklumat yang berkaitan dengan anda seperti alamat IP (protokol internet), cookies, log aktiviti, pengenal pasti dalam talian dan data lokasi melalui penggunaan produk dan perkhidmatan kami atau dalam penyampaiannya kepada anda;
  • Bagi Perbankan Internet myBSN, kami mengumpul senarai kenalan anda (untuk membolehkan ciri DuitNow ke Nombor Telefon apabila aplikasi myBSN Mobile digunakan) dan gambar (untuk membolehkan fungsi Imbas QR);
  • Imej dan video yang kami atau ejen kami rakam semasa anda menghadiri atau menyertai sebarang acara, gerai atau aktiviti promosi atau pemasaran lain;
  • Imej yang dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) di cawangan Bank, premis pejabat atau premis pihak ketiga (di mana terminal layan diri berada), semasa melawat cawangan Bank atau premis pejabat atau terminal layan diri di premis pihak ketiga.

Kami mungkin memperoleh Maklumat ini daripada anda dan juga daripada pelbagai sumber lain, termasuk daripada sumber awam, pihak berkuasa, pihak ketiga yang berhubung dengan anda (contohnya majikan, pemegang akaun bersama, penyedia jaminan, dan sebagainya), serta sumber lain di mana anda telah memberikan kebenaran untuk mendedahkan Maklumat Peribadi anda. Kegagalan untuk memberikan atau mengakses Maklumat ini mungkin menyebabkan Bank tidak dapat menyediakan atau meneruskan penyediaan produk dan/atau perkhidmatan.

Maklumat sensitif anda (jika ada) akan diproses oleh Bank mengikut Seksyen 40 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, Polisi Pendedahan Maklumat dan lain-lain undang-undang dan polisi yang terpakai.

TUJUAN DATA PERIBADI ANDA DIKUMPUL

Secara amnya, Maklumat Peribadi anda diproses untuk menyediakan produk atau perkhidmatan kewangan yang dipohon oleh anda. Selain itu, kami mungkin menggunakan Maklumat Peribadi anda untuk satu atau lebih daripada tujuan-tujuan yang dinyatakan berikut:

  • bagi mengesahkan kedudukan kewangan anda dan menjalankan semakan kredit;
  • bagi menguruskan dan mengekalkan akaun dan kemudahan fasiliti anda bersama kami;
  • bagi menguruskan dan/atau menambah baik perniagaan, produk, perkhidmatan, rekod dan hubungan anda bersama kami;
  • bagi mempromosikan dan memasarkan produk dan perkhidmatan kami;
  • bagi menyediakan untuk anda maklumat mengenai produk, perkhidmatan, tawaran dan/atau peraduan daripada kami dan pihak ketiga terpilih yang mungkin menarik minat anda, dan dalam hal ini, untuk menghubungi anda melalui peranti mudah alih, emel, surat, secara peribadi dan/atau sebarang saluran komunikasi lain yang sesuai;
  • bagi menguruskan dan/atau memaklumkan anda mengenai sebarang tawaran, peraduan dan promosi;
  • bagi menjawab pertanyaan dan aduan anda;
  • bagi menghasilkan data, laporan dan statistik yang telah dianonimkan;
  • bagi memenuhi keperluan dan kewajipan undang-undang dan kawal selia;
  • bagi memelihara atau menguatkuasakan hak Bank, termasuk tetapi tidak terhad kepada hak Bank untuk mendapatkan sebarang hutang yang perlu dibayar kepada Bank;
  • bagi melindungi kepentingan awam, seperti dalam pengesanan jenayah, dan sebagainya;
  • bagi mencegah penipuan, menjalankan semakan anti-pengubahan wang haram (anti-money laundering), pengesanan jenayah, penyiasatan, pencegahan dan pendakwaan;
  • bagi memenuhi sebarang permintaan oleh Bank Negara Malaysia kepada Unit Kredit Pusat; dan/atau
  • bagi tujuan lain yang diperlukan atau dibenarkan oleh mana-mana undang-undang, peraturan, garis panduan dan/atau perintah mahkamah dan/atau pihak berkuasa pengawalseliaan yang berkenaan.

Kami akan memohon persetujuan anda sebelum menggunakan Maklumat Peribadi anda untuk tujuan selain daripada yang dinyatakan dalam Polisi Privasi ini.

CAPAIAN TERHAD KAKITANGAN

Hanya kakitangan kami yang diberi kuasa yang memerlukan maklumat tersebut akan diberikan akses kepada maklumat anda. Setiap kakitangan kami komited dalam memastikan Maklumat anda selamat dan terjamin pada setiap masa. Sekiranya mana-mana kakitangan gagal mematuhi Polisi Privasi ini, tindakan tatatertib akan dikenakan.

LANGKAH KESELAMATAN

Kami tekad sepenuhnya untuk memastikan keselamatan, privasi, dan kerahsiaan Maklumat anda, termasuk maklumat yang didedahkan kepada kami melalui proses automatik atau keputusan berasaskan AI. Untuk melindungi Maklumat anda, kami menggunakan sistem keselamatan siber yang canggih dan mematuhi piawaian keselamatan komputer yang ketat untuk memastikan Maklumat anda disimpan dalam persekitaran yang selamat dan terjamin.

Kami ingin mengingatkan anda bahawa, walaupun kami berusaha sedaya upaya untuk melindungi Maklumat anda, tiada penghantaran data di internet boleh dijamin selamat sepenuhnya. Oleh itu, kami menasihatkan anda supaya tidak menghantar maklumat sensitif atau sulit melalui internet kecuali diarahkan untuk melakukannya melalui saluran selamat kami. Walaupun dengan usaha terbaik kami, kami tidak dapat memastikan perlindungan mutlak terhadap penghantaran Maklumat tersebut dan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang timbul daripada pintasan, kecurian, pengubahan atau penyalahgunaan maklumat anda.

Untuk meningkatkan lagi keselamatan siber anda, kami menggalakkan anda untuk mengambil langkah-langkah berikut:

  • Pastikan komputer dan peranti mudah alih anda dilengkapi dengan sistem pengendalian, aplikasi, dan perisian keselamatan yang terkini;
  • Gunakan kata laluan yang kuat dan unik untuk akaun anda serta menukar kata laluan tersebut secara berkala;
  • Elakkan penggunaan rangkaian Wi-Fi awam atau yang tidak selamat apabila mengakses maklumat sensitif anda; dan
  • Sentiasa berwaspada terhadap cubaan penipuan dan komunikasi berunsur penipuan.

Untuk maklumat lanjut mengenai langkah keselamatan kami, sila rujuk kepada Kenyataan Keselamatan kami.

PERKONGSIAN MAKLUMAT

Kami tidak akan berkongsi atau mendedahkan Maklumat anda kepada mana-mana pihak ketiga atau organisasi luar sejajar dengan pematuhan ketat kami kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan, Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (DFIA).

Walau bagaimanapun, untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada anda dan memaklumkan kepada anda tentang produk dan perkhidmatan Bank yang difikirkan sesuai/bermanfaat kepada anda, Maklumat anda boleh diberikan kepada vendor pihak ketiga, sekutu dan rakan kongsi strategik kami dan/atau pihak ketiga yang berkaitan apabila perlu, tertakluk kepada perjanjian antara anda dengan Bank dan/atau undang-undang yang terpakai (termasuk peraturan, garis panduan dan/atau obligasi).

Pihak ketiga ini termasuk tetapi tidak terhad kepada:

  • Mana-mana pegawai, pekerja, ejen atau pengarah Bank, syarikat subsidiari Bank, syarikat-syarikat berkaitan, sekutu dan wakil;
  • Pihak ketiga yang berkenaan seperti penasihat profesional, rakan perniagaan strategik dan pakatan, penyedia perkhidmatan, syarikat insurans/pengendali Takaful atau insurans/broker Takaful, peniaga, pembekal, rakan niaga dan ejen perniagaan yang menyokong aktiviti operasi Bank dan yang berada di bawah kewajipan undang-undang untuk kerahsiaan data anda;
  • Mana-mana pemegang serah hak, pihak baru dalam novasi atau penerima pindahan hak-hak dan/atau kewajipan Bank di bawah sebarang transaksi antara Bank dan anda (atau mana-mana ejen atau penasihat profesional);
  • Mana-mana agensi penarafan atau pembekal perlindungan kredit kepada Bank secara langsung / tidak langsung;
  • Mana-mana pihak yang dikehendaki oleh undang-undang atau kerajaan, separa kerajaan, pentadbiran, badan/penyeliaan kawal selia atau pihak berkuasa, mahkamah atau tribunal;
  • Mana-mana agensi rujukan kredit yang digunakan oleh Bank bagi penilaian kredit atau kajian semula kredit anda dan pihak-pihak yang berkaitan dengan kemudahan yang disediakan oleh Bank;
  • Sebarang agensi rujukan jenayah kewangan, institusi kewangan yang lain dan ejen-ejen mereka;
  • Mana-mana penjamin atau penyedia cagaran untuk kemudahan pembiayaan anda; atau
  • Pihak berkuasa cukai negara/dalam bidang kuasa di mana akaun anda dikekalkan dan/atau dipertukarkan dengan mana-mana pihak berkuasa cukai negara/dalam bidang kuasa lain atau negara/dalam bidang kuasa di mana anda mungkin merupakan penduduk bercukai menurut perjanjian antara kerajaan di mana pihak Bank mempunyai kewajipan untuk mendedahkan maklumat anda.

Semua entiti ini dikehendaki mematuhi langkah-langkah dan amalan dalam Polisi Privasi ini.

Anda dianggap telah memberikan kebenaran kepada kami untuk menggunakan, memproses dan berkongsi Maklumat Peribadi anda bagi tujuan pemasaran, sekiranya anda terus berurusan atau berurus niaga dengan kami. Sekiranya anda ingin menarik balik kebenaran anda atau tidak mahu mendedahkan Maklumat Peribadi anda atau tidak mahu dihubungi oleh kami untuk produk dan perkhidmatan selanjutnya yang ditawarkan oleh kami atau pihak ketiga lain, sila maklumkan kepada kami melalui telefon atau e-mel yang diberikan di akhir Polisi Privasi ini pada bila-bila masa.

Apabila anda mendedahkan data individu lain selain daripada anda, anda dengan ini menjamin bahawa anda telah mendapatkan kebenaran semua individu berkenaan untuk mengemukakan data mereka kepada kami bagi tujuan yang dinyatakan di atas dan bagi pendedahan kepada pihak-pihak yang dinyatakan di atas.

KETEPATAN MAKLUMAT

Adalah penting bagi kami untuk memastikan data dan Maklumat anda tepat, lengkap, dan terkini. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk memastikan data dan Maklumat yang anda berikan adalah tepat, lengkap dan tidak mengelirukan serta sentiasa dikemas kini untuk tujuan di mana data dan Maklumat anda dikumpul dan diproses.

HAK ANDA UNTUK MENGAKSES DAN MEMBETULKAN MAKLUMAT PERIBADI ANDA

Tertakluk kepada hak dan kewajipan kami mengikut undang-undang dan peraturan yang berkenaan, anda boleh membuat pilihan mengenai penggunaan atau had penggunaan Maklumat Peribadi anda. Jika anda ingin mengakses Maklumat Peribadi anda, anda boleh mengakses akaun perbankan internet anda atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami melalui telefon atau emel yang diberikan di akhir Polisi Privasi ini. Jika anda ingin membetulkan atau memadamkan Maklumat Peribadi anda, sila kunjungi mana-mana cawangan kami bagi membolehkan kami membantu anda berhubung permohonan tersebut. Kami boleh mengenakan caj yang nominal untuk akses kepada Maklumat.

Walau bagaimanapun, kami berhak untuk menolak dan tidak memproses sebarang permintaan yang mungkin menjejaskan keselamatan dan privasi data peribadi pihak lain serta permintaan yang tidak praktikal atau tidak dibuat dengan suci hati.

MAKLUMBALAS PELANGGAN

Untuk sebarang pertanyaan, kebimbangan atau aduan berkaitan dengan Maklumat Peribadi anda, sila hubungi kami melalui nombor talian penting (hotline) kami atau e-mel kami:


Pusat Perhubungan Pelanggan BSN

Telefon: Telefon: 1300 88 1900 atau +603-2613 1900 (Luar Negara) dari 8.00 pagi hingga 10.00 malam
E-mel: customercare@bsn.com.my


Notis Penting:
Waktu operasi Pusat Perhubungan Pelanggan BSN adalah dari 8.00 pagi hingga 10.00 malam. Walau bagaimanapun, panggilan yang diterima selepas 10.00 malam akan dihubungkan ke Respons Suara Interaktif Automatik kami bagi:

  • Melaporkan penipuan dan scam
  • Permohonan sekatan Perbankan Internet myBSN
  • Melaporkan kehilangan atau kecurian Kad
  • Permintaan Pelan Pembayaran Ansuran atau pertanyaan kad yang lain


Anda juga boleh menggunakan Saluran Pendedahan Maklumat kami dengan menghubungi kami melalui:

Telefon: +6019 2558 538
E-mel: whistleblowing_igu@bsn.com.my

KEMASKINI KEPADA POLISI PRIVASI INI

Kami mungkin mengemas kini Polisi Privasi ini dari semasa ke semasa. Sila kunjungi laman web kami di www.bsn.com.my untuk menyemak Polisi Privasi ini secara berkala dan untuk sentiasa dimaklumkan mengenai cara kami melindungi Maklumat anda. Dengan meneruskan hubungan perbankan/aktiviti perniagaan anda dengan kami selepas kemas kini dimaklumkan, anda dianggap telah menerima dan memberi persetujuan terhadap kemas kini tersebut.